Khamis, 27 Ogos 2009

Ramadhan Datang Lagi

Setelah agak lama saya menyepi daripada menulis blog dan saya mula mengaktifkan kembali menulis. Sejak kebelakangan ini saya agak sibuk. Maklumlah mahasiswa semester pertama macam saya sudah dibebani macam-macam tugasan.

Selepas bulan Rejab dan Syaaban berlalu,kini Ramadhan pula yang menjelma. Bulan yang penuh dengan keberkatan ini memang di nantikan oleh seluruh umat Islam di pelusuk dunia. Maka akan penuhlah muslimah-muslimah di bazar-bazar Ramadhan,pelbagai aneka makanan akan disajikan untuk santapan berbuka puasa dan berbondong-bondong umat Islam ke masjid atau surau. Menjelang Aidilfitri nanti makin sibuklah dengan perancangan masing-masing.

Ini adalah kali pertama saya berpuasa di universiti luar daripada negeri kelahiran saya. Dari hari Ahad hingga hari Khamis saya berbuka puasa di masjid dan hari minggu di bilik. Saya berasa sangat gembira apabila berbuka puasa di masjid kerana di situ akan wujudnya ukhwah antara muslim. Orang yang dijemput bukan sahaja mahasiswa Melayu Muslim tetapi turut dijemput mahasiswa antarabangsa yang beragama Islam seperti mahasiswa dari China dan dari negara-negara Timur Tengah. Saya seronok kerana semua bangsa berkumpul atas nama persaudaraan Islam berbuka puasa bersama-sama. Begitu juga ketika sembahyang berjemaah. Kita akan berselisih bahu apabila kita sembahyang berjemaah. Hal ini menunjukkan bahawa kita manusia semua sama dan tiada beda. Hanya takwa yang menbedakan. Tapi masih ada sesetengah orang yang taksub dengan bangsa. Pedulikanlah orang-orang tersebut. Pada bulan yang mulia ini saya berharap segala amalan saya akan diterima oleh Allah S.W.T dan Allah mengampunkan segala dosa-dosa saya. Saya berharap bulan yang mulia ini akan dimanfaatkan oleh umat Islam dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan amalan. Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat Islan khususnya yang membaca blog saya.